|
Sejarah penubuhan kumpulan D'Atomic
Power yang berasal dari Sandakan, Sabah bermula pada tahun 1978, dimana
ianya telah diasaskan oleh Encik Rashid Kamsiran yang juga selaku Ketua kumpulan ini.
Nama D'Atomic Power telah diilhamkan oleh Encik
Sebastian Lim yang juga ipar kepada Encik Rashid Kamsiran. Keanggotaan asal D'Atomic
Power ketika itu ialah terdiri daripada Rashid Kamsiran
(Gitar Utama/Keyboard/Trombone/Vocal/Ketua Kumpulan), Sulaiman Alman @
Ringgo (Drummer), Ismail Arun (Bass/Vocal), Saat
Talip (Keyboard/Altosax), Karim Awang (Altosax), Rudy
Ahmad (Vocal Utama), Geofrey Tan (Vocal) dan Alleh
Aggullana (Vocal).
Pada tahun ini juga (1978) Kumpulan D'Atomic Power telah
menyertai Pertandingan Bakat TV anjuran RTM, dan kumpulan ini
telah berjaya mewakili Negeri Sabah ke Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Pulau Pinang.
Namun tuah tidak menyebelahi kumpulan ini, D'Atomic Power
hanya berjaya menduduki tempat ketiga setelah bersaing hebat dengan kumpulan-kumpulan lain
diketika itu.
Akan tetapi keputusan tersebut tidak melemahkan semangat juang kumpulan ini. Justeru
demikian, pada tahun berikutnya (1979) D'Atomic Power sekali
lagi menyertai Pertandingan Bakat TV'79 dan seterusnya berjaya mewakili Negeri Sabah ke
peringkat kebangsaan yang diadakan di Seremban, Negeri Sembilan. Pada pertandingan kali
ini, D'Atomic Power telah berjaya meraih tempat pertama.
Saat ini lah juga yang melonjakkan nama D'Atomic Power dipersada
muzik tanah air.
Selepas menjuarai Pertandingan Bakat TV'79, D'Atomic Power telah
menghasilkan album sulung berjudul Cinta Benar Cinta melalui
syarikat IMI. Antara lagu-lagu hit dalam album tersebut ialah diantaranya Cinta
Benar Cinta, Sinar Matamu, Ibu dll.
Tetapi kata pepatah Langit Tidak Selalu Cerah, tahun 1981 ketika
kumpulan ini berada dipuncak ianya telah mengalami sedikit perpecahan dimana empat orang
anggotanya iaitu terdiri dari Saat Talip, Rudy Ahmad, Sulaiman Alman @ Ringgo
dan Alleh Aggullana telah menarik diri dari kumpulan ini dan seterusnya
menubuhkan Rass Express. Namun ianya tidak menjejaskan semangat
Encik Rashid Kamsiran bersama anggota lain yang tinggal iaitu Ismail Arun, Karim Awang dan
Geofrey Tan untuk meneruskan perjuangan D'Atomic Power. Pada
ketika itu juga D'Atomic Power telah menambah ahli baru yang
terdiri dari Tony Liew (Key Board) dan Affendi
Hamdan (Vocal) bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan.
Saat paling manis dalam diary D'Atomic Power apabila dijemput
untuk filem Bertunang oleh Deddy M. Borhan dari Sabah Filem. Dua
buah lagu hitnya, Bertunang dan Asal Kau Bahagia
telah dipilih untuk soundtrack dan muzik latar filem berkenaan.
Dalam pada itu juga D'Atomic Power berjaya menghasilkan album
keduanya juga bersama syarikat IMI dimana lagu-lagu Bertunang, Asal Kau
Bahagia dan Hidup dan Cinta Mesra adalah diantara
lagu hit dalam album kali ini.
Setelah melalui ranjau era hiburan 80-an, kumpulan ini terus masih bertahan dengan
mendapat undangan pertunjukan pentas di seluruh negeri. Bagaimanapun dalam tahun 1993 nama
D'Atomic Power telah ditukar kepada Atomic Power
dan sekali gus mengasilkan album ketiganya berjudul Manusia
bersama Syarikat Sinar Muzik. Lagu-lagu seperti Cinta Suci, Manusia dan
Kiambang Masih Bertaut adalah lagu-lagu hit album tersebut.
Anggota kali ini juga benar-benar berubah tidak lagi seperti tahun 1981, iaitu anggota
yang masih bertahan Rashid Kamsiran (Gitar/Vocal), Zakaria
Hj. Buang @Zack (Drummer/Vocal), Achok (Key
Board./Vocal), Dino (Key Board), Imran (Bass)
dan Idhamsah Hj. Mohd. Jaini @ Bong (Precussions).
Sekitar tahun 1993 Atomic Power telah menyertai Muzik-Muzik peringkat awal terbitan TV3.
Era baru Atomic Power menyaksikan pada tahun 1997 anggota barunya menyertai kumpulan ini
iaitu Rudy Rashid - anak kepada Encik Rashid Kamsiran (Gitar), Moksin
@ Raymond (Bass), Din (Gitar), Bardin
Hj. Buang @ Duxx - adik kepada Encik Zakaria Hj. Buang (Drummer &
Precussions) dan Suhaidi selaku penyanyi utama.
Kesemua muka baru ini telah berjaya memantapkan lagi kombinasi Atomic Power seperti dulu
apabila berjaya meraih tempat pertama dalam Festival Lagu '97
Peringkat Negeri Sabah Kategori Juara Muzik anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan
Sukan Negeri Sabah dengan menngunakan nama Pro VIII, dan Encik Zakaria
Hj. Buang @ Zack pula menjadi Johan Kategori Nyanyian Solo Lagu Asli &
Keroncong.
Atomic Power sering dijemput untuk membuat persembahan di majlis-majlis perkahwinan serta
majlis rasmi kerajaan seperti di Sandakan, Lahad Datu dan Kota Kinabalu. Keistimewaan
kumpulan ini ialah boleh memainkan semua jenis muzik iaitu seperti asli, keroncong, pop,
jazz, R&B, dangdut, hindi, Cina dll.
Kumpulan Atomic Power juga pernah mengiringi artis-artis popular diantaranya seperti Ziana
Zain sebanyak empat kali ketika mengadakan konsert di Sandakan, Leina Hangat, Siti
Norhaliza, Nadia, Dahlan Zainuddin, Salwa Abd. Rahman, Safura dan banyak lagi serta yang
terbaru ialah Noreen Noor.
Dengan dianggotai muka-muka baru seperti Zakaria Hj. Buang @Zack, Achok, Dino,
Suhaidi, Rudy, Din, Agus, Bardin @ Duxx serta Idhamsah Hj.
Mohd. Jaini @ Bong diharap dapat memantapkan lagi persembahan yang cukup
padu daripada Atomic Power atau sekurang-kurangnya membangkitkan semula Nostalgia
D'Atomic Power yang kini masih lagi diketuai oleh Encik Rashid
Kamsiran iaitu pengasas kumpulan ini.
Selain daripada itu Kumpulan Atomic Power juga mempunyai studio rakaman (24 track) yang
diharapkan dapat memantapkan lagi kumpulan ini seterusnya menyumbang kepada dunia muzik
tanah air di negara ini khusunya di negeri Sabah.
Apa yang pasti, sumbangan kumpulan ini dalam dunia muzik amat besar ertinya apabila
berjaya mengangkat martabat negeri Sabah dipersada muzik tanah air.
Walaubagaimanapun, Kumpulan Atomic Power sesungguhnya amat terhutang budi kepada Datuk
Seri Panglima Hj. Hassan Alban Hj. Sandukong selaku penaung dan penasihat
kumpulan ini yang telah banyak memberikan dorongan, sokongan moral dan material
sehinggalah kumpulan ini dapat bertahan sehingga ke hari ini.
|
Sumber dari - Rozzalin Hashim
(Daily Express)